• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

DUNGUN, 11 Februari - Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu amanah dalam menjalankan kerja demi kesejahteraan penduduk kampung.

Penyelia Institusi Modal Insan Sejahtera (i-Mits) Parlimen Dungun, Jamaluddin Al-Hafiz Jusoh berkata, pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dengan adil akan tergolong dalam tujuh golongan yang mendapat perlindungan dari Arasy Allah. 

"Allah menyuruh kita berkerja dan beramal, yang mana kita ini sentiasa diperhatikan oleh Allah dan hisab yang sedang menanti di alam akhirat sana."

"Jika baik kerja kita, maka gembiralah dan jika gagal, maka kecewalah kita di alam sana," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis ringkas Penyerahan Watikah Pelantikan kepada setiap pengerusi JPKK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka.

Katanya, pengerusi JPKK perlu membiasakan diri dalam menguruskan kebajikan penduduk termasuk perkara berkaitan perkhidmatan agensi kerajaan. 

"Bagi pengerusi lama alhamdulillah, mungkin laju menyelesaikan urusan naik turun pejabat.

"Manakala yang baru dilantik ini perlu mahir dalam menguruskan sendiri perkara ini dan jangan sampai tahap nak pergi pejabat agama pun tidak berani," ujarnya lagi. 

Dalam pada itu, Jamaluddin menegaskan agar setiap JPKK perlu mengerakkan organisasi bagi melancarkan pentadbiran sesebuah kampung. 

"Sebagai contoh, sekiranya berlaku sesuatu aduan kerosakan, ambil gambar, nama, data dan anggaran kos serta laporkan dalam 'group WhatsApp bagi pihak atasan mengambil tindakan selanjutnya," jelasnya.

 

Tag: