• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

JPKK Perlu Amanah Laksana Tugas

DUNGUN, 14 Disember – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang baru dilantik perlu menjalankan tugas dengan penuh amanah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, mereka perlu membuktikan keupayaan serta tanggungjawab di kampung masing-masing.

Katanya, penting untuk JPKK mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk secara langsung serta menganggap setiap kritikan sebagai peluang untuk pembaikan.

"Kita perlu memahami bahawa mencari kesempurnaan bukanlah mudah, tetapi kita harus menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.

"Sabarlah dalam menghadapi kritikan, dan lihatlah setiap cabaran sebagai peluang untuk mencari keredhaan Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Watikah Pelantikan JPKK Daerah Dungun di Dewan Majlis Perbandaran Dungun.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua ahli JPKK untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh ikhlas.

"Kita semua manusia, dan sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain. Melalui JPKK, kita mempunyai peluang untuk membantu dan memberi manfaat kepada masyarakat," ujarnya.


 


Tag: