JPKK Wanita Ejen Kerajaan Negeri Bantu Kaum Ibu
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 21 Februari - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Biro Wanita memainkan peranan penting sebagai ejen kerajaan negeri untuk mendekati dan membantu golongan terbabit di kampung masing-masing.
Ketua Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar, Khairiah Mokti berkata, biro berkenaan harus peka dengan setiap inisiatif dan insentif yang dilaksanakan kerajaan untuk disampaikan kepada kaum wanita.
"Contohnya kerajaan Terengganu ada menyediakan Tabung Siti Khadijah khas untuk wanita yang nak menceburi bidang perniagaan, ini membolehkan mereka ini tidak perlu bersaing dengan lelaki untuk mendapatkan pinjaman.
"Jadi, perkara sebegini wajib dihebahkan sehingga ke akar umbi," ujarnya.
Khairiah berkata demikian ketika berucap di Program Tautan Kasih Bersama ADUN Wanita di Anggulia Beach Resort baru-baru ini.
Katanya, JPKK yang 'bergelumang' di kampung sepatutnya membina hubungan lebih rapat dengan orang kampung supaya setiap permasalahan mereka dalam makluman agensi berkuasa.
"JPKK wanita sepatutnya menjadi penghubung pada masyarakat, pencetus idea, ada 'supporting group' untuk wanita kampung, biar wanita ni rasa lain apabila PAS memerintah Terengganu iaitu rasa lebih tenang," tambahnya lagi. Foto oleh - IMITS DUN Rhu Rendang.