• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

JPN Nasihat Penternak Ikan Guna Kaedah Sesuai

Ahmad Amzad (dua dari kanan) turut melawat kawasan bencana.
KUALA TERENGGANU, 11 September - Jabatan Perikanan Negeri (JPN) menasihatkan penternak ikan dalam sangkar di negeri ini agar mengurangkan kepadatan ikan dan menggunakan alat bantuan oksigen sama ada 'pum', 'blower' atau sebagainya bagi memastikan ikan peliharaan mereka mendapat oksigen yang cukup.

Pengarah Perikanan Negeri, Zawawi Ali juga menasihatkan mereka supaya turut memastikan jaring sangkar tidak dipenuhi lumut bagi melancarkan pertukaran atau pergerakan air.

Mereka juga katanya perlu menyusun atur semula sangkar dan memastikan ada laluan air di tengah sangkar.

Beliau berkata demikian selepas menghantar lima pegawai pemantau membuat lawatan ke lokasi kematian ikan Kampung Kuala Bekah, Sungai Terengganu, di sini semalam.
Zawawi Ali.
Zawawi menerima aduan berkait beribu-ribu ikan air tawar pelbagai spesis mati tengah hari semalam dipercayai akibat sistem penjagaan sangkar kurang sesuai.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

Zawawi juga menasihatkan penternak supaya melupuskan ikan mati secara menimbus dalam tanah atau membakarnya.

“Menurut laporan awal, kematian ikan Baung dan Talapia Merah di sangkar berkenaan adalah akibat keadaan sangkar terlalu padat dengan jumlah ikan setiap sangkar antara 1,000 hingga 1,500 ekor, sementara sangkar pula hanya berukuran 20 kaki persegi,” tambahnya.
Ikan mati mendapat perhatian JPN.
Katanya, akibat tidak ada aliran air bersesuaian dalam sangkar boleh menyebabkan kematian ikan berkenaan.

“Kematian ikan melibatkan ikan Baung dan Tilapia bersaiz antara 800 gram hingga 1 kilogram dengan anggaran kerugian dan jumlah penternak terlibat masih dalam siasatan Pejabat Perikanan Daerah,” jelasnya.

Menurut laporan yang diterima kematian berlaku pada jam 9 malam kelmarin. Bacaan pasang surut air (0.5 meter-low tide) dan sehari sebelum kejadian kematian ikan, hujan berlaku di sebelah petang.

Ikan mati dipercayai akibat sistem pengendalian sangkar tidak mengikut kaedah yang sesuai.
Katanya, berdasarkan pemerhatian morfologi ikan, keadaan ikan berada dalam keadaan normal termasuk insang, mata, sisik, sirip dan organ dalaman.

“Bacaan parameter air berada dalam julat optima dan dalam Kelas 1 (National Water Quality Standard) dan sampel air telah diambil untuk tujuan analisa Jabatan Kimia,” jelasnya lagi.


Tag: