• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

JPNT Beku Tugas Guru Didakwa Terlibat Perdagangkan Wanita

KUALA TERENGGANU, 27 Mac -  Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil tindakan membekukan sementara tugas guru penolong kanan selepas didakwa memperdagangkan seorang wanita di sebuah apartment di sini baru-baru ini.

Pengarahnya, Jelani Sulong berkata, tindakan itu diambil bagi memberi ruang kepada siasatan lebih terperinci berhubung pertuduhan tersebut selain JPNT akan menunggu keputusan mahkamah.

Menurutnya, perkara ini masih dalam siasatan polis dan mereka serah sepenuhnya kepada pihak polis dan JPNT akan menunggu keputusan mahkamah sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Baru-baru ini pertuduhan sudah dibuat di Mahkamah dan beliau (guru berkenaan) tidak mengaku salah, manakala 31 Mac depan dijangka sebutan semula kes.

"Jadi, kita di peringkat jabatan tunggu dahulu keputusan daripada mahkamah sebelum tindakan tatatertib akan menyusul," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sidang media pengumuman Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga telah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung isu tersebut.

"Setakat ini guru itu tidak boleh mengajar sehingga mahkamah buat keputusan, jika mahkamah putuskan sebaliknya (tidak bersalah) mungkin guru itu boleh mengajar semula," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang guru dan rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan memperdagangkan wanita bagi eksploitasi seks, dua minggu lalu.

Guru tersebut, Mohd. Hasfyanizam Mansor, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Namun, rakan guru itu, Mohamad Fazley Jaafar, 29, yang berdepan pertuduhan sama mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa telah memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks di sebuah apartment di bandar raya ini kira-kira pukul 2.35 pagi pada 11 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Tag: