KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR) buat julung kalinya memperkenalkan Bufet Ramadan bertemakan Warisan Pantai Timur sebagai inisiatif mengetengahkan keaslian cita rasa tradisional sekali gus memperkukuh pemeliharaan warisan kulinari tempatan sepanjang bulan Ramadan.
Pengurus Besar Kuala Terengganu Golf Resort, Baharin Baharudin berkata, penganjuran bufet tersebut dirangka bukan sekadar memenuhi keperluan berbuka puasa, malah sebagai satu pengalaman gastronomi berteraskan nilai budaya, kebersamaan dan identiti Pantai Timur.
Menurut beliau, pemilihan tema Warisan Pantai Timur selari dengan perubahan selera pelanggan masa kini yang semakin menghargai hidangan autentik berasaskan resipi warisan serta penggunaan bahan mentah tempatan.
“Bufet Ramadan ini diwujudkan sebagai platform menghimpunkan keluarga dan komuniti setempat untuk menikmati juadah tradisional dalam suasana santai dan mendamaikan di persekitaran padang golf, selari dengan semangat kebersamaan yang menjadi teras Ramadan,” katanya.
Bufet Ramadan Warisan Pantai Timur akan berlangsung dari 20 Februari hingga 18 Mac 2026 dan tidak beroperasi pada setiap hari Isnin.
Tambahnya, dari segi harga, bufet Ramadan ini ditawarkan pada kadar yang berpatutan iaitu RM55 bersih seorang untuk ahli, manakala harga biasa RM60 bersih seorang.
“Harga istimewa turut disediakan untuk warga emas (60 tahun ke atas) dan kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) pada kadar RM35 bersih seorang,” ujar beliau.
Antara hidangan utama yang disajikan termasuk Nasi Hujan Panas, Daging Masak Merah, Patin Tempoyak, Sup Tulang, Ayam Percik serta Ikan Cencaru Sumbat Air Asam yang merupakan antara sajian ikonik Pantai Timur.
Bagi pencuci mulut, para pengunjung boleh menikmati pilihan manisan tempatan termasuk Kuih Akok, Nekbat, Puteri Mandi, ais kacang dan cendol, selain pelbagai kuih-muih tradisional lain yang melengkapkan pengalaman berbuka puasa secara menyeluruh.
Untuk tempahan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 09 666 0613 atau 016 329 7906.