• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Jual 'Poyok Viral' Bantu Suami

HULU TERENGGANU, 31 Januari - Niat murni Siti Nasuha Mohamad, 31, menjadi ejen 'Fazzy's Poyok Viral' untuk membantu suami menambah pendapatan keluarga sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbaloi selepas mendapat keuntungan yang lumayan.

Isteri kepada Ali Hilmi Abdul Halim, 30, berkata, ketika PKP pertama mula dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu, dia buntu apabila tidak boleh berniaga pisang goreng di warung seperti biasa.

"Ditambah pula pendapatan suami tidak seberapa bagi menanggung anak-anak yang bersekolah.

"Bermula dari itu saya terdetik untuk menceburi perniagaan atas talian, tetapi tidak tahu hendak menjual apa sehingga suatu hari ditunjuk oleh suami satu perniagaan tempoyak yang cukup tular di media sosial dan menerima permintaan yang tinggi.

"Jadi sejak itu saya mula berniaga secara atas talian, lebih bermakna apabila saya yang bermula sebagai ejen kecil telah berjaya menjadi stokis kepada 'Fazzy's Poyok Viral', dengan pendapatan kini dalam masa dua minggu boleh mencapai keuntungan RM5,000 dan sangat berbaloi bagi meringankan beban suami," ujarnya.

Nasuha berkata demikian ketika dihubungi pihak media, mengulas mengenai perniagaan yang diceburinya itu.

Sementara itu Pemilik Fazzys Global, Azie Fazamilla Awi dari Kuala Nerus berkata, syarikatnya kini memiliki kekuatan 300 orang ejen dan stokis 'Fazzy's Poyok Viral' di seluruh Malaysia.

"Alhamdulillah ia mendapat sambutan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, malah juga menerima permintaan dari negara jiran iaitu Singapura dan melalui ejen kami juga tempoyak ini juga telah sampai ke Vietnam.

"Antara keistimewaan tempoyak kami ini ialah menggunakan Durian D-24 yang bermutu tinggi disamping turut menggunakan Durian Musang King, sebagai contoh didalam 3.8 tan durian yang diterima di dalam 500 kilogram itu ada Durian Musang King, malah kami sangat mementingkan kualiti," ujarnya.

Tambah beliau produknya itu didatangkan dalam empat jenis iaitu Sambal Tempoyak Bilis, Sambal Tempoyak Pedas, Sambal Tempoyak Petai dan Sambal Tempoyak Petai Bilis.

Katanya lagi, produk tempoyaknya itu menerima permintaan yang sangat tinggi kerana peminat durian boleh dikatakan ada di seluruh dunia terutamanya dalam negara sendiri.

 


Tag: