• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Jualan Kelengkapan Sekolah Merosot

KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Kebiasaannya setiap kali cuti persekolahan akhir tahun, kedai menjual kelengkapan persekolahan pasti menjadi tumpuan ibu bapa.

Namun, keadaannya berbeza tahun ini apabila kedai menjual pakaian dan kasut sekolah agak sepi tanpa ada lagi suasana pelanggan yang bersesak-sesak memilih kelengkapan  sekolah anak mereka.

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di beberapa buah kedai menjual pakaian sekolah di bandar ini mendapati perniagaan agak perlahan.

Ini diakui seorang peniaga pakaian sekolah, Loh Suet Sem, 63, berkata, jualan pakaian sekolah di kedainya merosot tahun ini berbanding tahun lepas.

“Biasanya pada setiap dua minggu akhir cuti persekolahan, keadaan kedai sesak dengan pelanggan yang datang membeli pada saat-saat akhir.

“Namun, tidak bagi  cuti persekolahan kali ini, keadaannya lebih tenang, mereka yang datang pun mengambil pendekatan berbelanja lebih berhemah, mungkin disebabkan keadaan ekonomi atau pakaian sebelum ini masih elok,” katanya.

Sementara itu seorang ibu dari Kampung Raja, Tepoh, Junainah Saat, 32, berkata, dia hanya membeli sepasang baju untuk seorang anaknya kerana pakaian dan kasut tahun lepas masih elok.

Katanya, dia mengambil langkah itu kerana mahu berjimat, selain ingin mengajar anak tidak boros kerana suami hanya bekerja kampung.

“Lagi pun kemungkinan selepas ini, jika ada rezeki ada bantuan daripada mana-mana pihak, termasuk Kerajaan Terengganu yang akan agihkan bantuan kelengkapan sekolah,” katanya yang mempunyai dua anak sekolah rendah dan seorang sekolah menengah.

 


Tag: