• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Jualan Keluarga Malaysia Terima Sambutan Menggalakkan

KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang diadakan di Tapak Pasar Malam Tok Adis pada Jumaat dan Sabtu yang lalu menerima sambutan yang menggalakkan.

Dilaporkan jumlah kehadiran selama dua hari tersebut hampir mencecah seribu orang pengunjung meskipun dalam keadaan hujan. 

PJKM merupakan sebuah inisiatif daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membantu mengurangkan kos sara hidup dan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Menurut Ahli Jawatankuasa PJKM Parlimen Kuala Terengganu, Hamiezah Mohd Lazim program tersebut telah bermula sejak Disember yang lalu di Kuala Berang.  

“Kami mengadakan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), pasaraya, pemborong dan usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) untuk memastikan harga jualan di sini lebih rendah daripada biasa. 

Puan Hamiezah menginringi En. Mohd bertemu dengan usahawan IKS

“Parlimen Kuala Terengganu akan bergilir-gilir dengan Parlimen Kuala Nerus dengan lokasi jualannya ditetapkan oleh pihak kami. 

“Sebelum ini di Parlimen Kuala Terengganu kita pernah adakan di Giant (DUN Bandar), Nirwana (DUN Wakaf Mempelam) dan sekarang di Tapak Pasar Malam Tok Adis (DUN Batu Buruk), kata Hamiezah ketika ditemui pemberita di lokasi jualan itu.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk juga telah menyampaikan sumbangan kepada sebahagian pembekal untuk dikurangkan lagi harga jualan. 

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pembantu Penyelia Hal Ehwal Kemasyarakatan Institut Modal Insan Sejahtera (i-MITS) DUN Batu Buruk, Mohd Yusof.

Sebarang maklumat berkenaan lokasi mingguan PJKM ini boleh rujuk di laman Facebook KPDNHEP Terengganu.

Harga daging selepas potongan harga hasil sumbangan ADUN Batu Buruk