• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jurulatih Selesai, Siapa Pula Pengarah Teknikal Baru TFC?

KUALA TERENGGANU, 7 Disember - Belum reda berkenaan pelantikan ketua jurulatih Terengganu Football Club (TFC), Nafuzi Zain, ahli lembaga pengarah (BOD) TFC sebenarnya turut membuat keputusan mengejut apabila bersetuju melantik Pengarah Teknikal (TD) baru bagi pasukan pantai timur itu.

Salah seorang ahli lembaga pengarah, Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu mendedahkan, BOD TFC menerima tiga nama cadangan daripada pihak pengurusan kelab pada 2 Disember lalu untuk dilantik sebagai ketua jurulatih.

"Bagaimanapun, berdasarkan nama dicadangkan BOD telah bersetuju mengekalkan Nafuzi Zain, ketua jurulatih sedia ada untuk terus membimbing pasukan bagi musim 2022.

"Namun, bagi menjayakan hasrat ini kita mengambil kira penambahbaikan yang bakal kita lakukan, maka kita bersetuju dalam mesyuarat tadi untuk mengambil salah seorang daripada calon lain yang dicadangkan dilantik sebagai Pengarah Teknikal TFC untuk membantu Nafuzi menyediakan satu pasukan yang mampu mencabar pada tahun depan.

"Kita telah buat keputusan siapa orangnya, cuma pihak pengurusan TFC akan segera berunding dengan individu terbabit untuk menentukan apa yang diperlukan antara kedua-dua pihak. Kini, terpulang kepada empunya badan untuk menerimanya atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), malam tadi.

Tambahnya, keputusan mengekalkan Nafuzi dengan kontrak setahun, berasaskan kepada faktor keperluan berlakunya kesinambungan yang dirintis sebelum ini dan ia sangat penting untuk memastikan semua pemain Terengganu memiliki asas kukuh dari peringkat TFC4 sehingga pasukan utama.

"Kebanyakan pemain TFC sedia ada dikekalkan, terutama pemain tempatan yang rata-rata mengikat kontrak dua tahun. Jadi sudah tentu keserasian yang diwujudkan oleh jurulatih sebelum ini dengan pemain sangat penting untuk menguatkan pasukan berhadapan cabaran 2022.

"Kita masih memberi ruang kepada Nafuzi membuktikan sesuatu. Namun begitu beliau juga terikat kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang akan ditetapkan pihak kelab untuk memastikan kesungguhannya dalam membina pasukan yang mantap," katanya.

Terdahulu, nama dua bekas pengemudi T-Team iaitu jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner dan jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan dikhabarkan bakal menggantikan Nafuzi di TFC. 

Namun, siapakah diantara keduanya bakal muncul sebagai Pengarah Teknikal di TFC nanti?

 


Tag: