• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kadar Kesuburan Wanita Malaysia Menurun, Tapi Terengganu...

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) bagi wanita umur reproduktif di Malaysia mencatatkan penurunan kepada 1.7 anak pada 2020 namun Terengganu merekodkan kadar di atas paras penggantian iaitu 2.9 anak.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata Kadar kesuburan pada tahun 2020 merupakan yang terendah sejak empat dekad yang lalu dengan 4.9 anak bagi setiap wanita pada tahun 1970.

Katanya, bagi peringkat negeri, semua negeri mencatatkan TFR di bawah paras penggantian kecuali tiga negeri iaitu Terengganu, Putrajaya (2.8 anak) dan Kelantan (2.7 anak).

“Kadar kesuburan Malaysia berada di bawah paras penggantian 2.1 anak mulai tahun 2013,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Merujuk kepada manual Principles and Recommendations For A Vital Statistics (Revision 3), United Nations Statistics Division (2014), paras penggantian 2.1 bermaksud purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang wanita dengan menanggung seorang anak perempuan yang hidup sehingga anak tersebut melahirkan anak.

“Antara faktor penurunannya adalah peningkatan purata umur perkahwinan pertama, kesan evolusi pembandaran, perubahan gaya hidup, status ekonomi dan peningkatan penggunaan kaedah perancang keluarga juga turut menyumbang kepada trend penurunan kelahiran pada masa ini.

“Jika paras penggantian kesuburan kekal dalam tempoh yang panjang, setiap generasi secara tepat akan menggantikan dirinya dan pasangannya tanpa mengambil kira migrasi penduduk,” jelasnya.

Katanya, trend penurunan kadar kesuburan di Malaysia adalah selari dengan negara maju yang lain seperti Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.7 anak), United States (1.7 anak), New Zealand (1.6 anak), Japan (1.4 anak) dan Republic of Korea (0.9 anak).

"Trend yang sama juga diperhatikan di negara ASEAN iaitu Laos (2.6 anak), Philippines (2.5 anak), Kemboja (2.5 anak), Indonesia (2.3 anak), Vietnam (2.1 anak), Myanmar (2.1 anak), Brunei Darussalam (1.8 anak), Thailand (1.5 anak) dan Singapura (1.1 anak)," katanya.