• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kadar Sewa Bazar Ramadan Felda Jerangau Berpatutan


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 7 Mei- Peniaga bazar Ramadan di Felda Jerangau di sini rata-ratanya berpuas hati dengan kadar sewa di tapak berkenaan yang dikatakan berpatutan dan tidak membebankan mereka.

Difahamkan, kadar sewa bagi tapak bazar Ramadan itu hanya RM30 sebulan, antara yang terendah berbanding di tempat lain.

Keadaan itu memberikan kelebihan kepada para peniaga untuk meraih keuntungan berganda pada bulan mulia ini.

Menurut Nurul Elyani Ikmal Mustafa Kamal, 35, yang pertama kali berniaga di bazar berkenaan dengan menjual lauk pauk berkata, dia dan suaminya Rosaifuddim Mohd, 39, sangat berpuas hati dengan kadar sewa yang dikenakan.

"Apabila saya bandingkan harga dengan kawan-kawan yang berniaga seperti saya, mereka terkejut selepas saya bagitau harga sewa tapak yang dikenakan cuma RM30 sebulan.

" Ini kerana, di sesetengah tempat ada yang mengenakan kadar sewa yang agak tinggi,” ujarnya ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Bazar Ramadan Pasar Baharu, Felda Jerangau, kelmarin.


Sementara itu, Mazila Abdul Ghani, 34, turut mengakui bahawa harga sewa tapak yang dikenakan langsung tidak membebankan peniaga.

"Sewa tapak ini dibayar kepada pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Tanah Rancangan (JKKKR) Felda Jerangau.

"Dengan harga sewa tapak yang rendah, secara tidak langsung ianya boleh mendatangkan pulangan yang agak lumayan kepada kami,” ujarnya yang telah tiga tahun berniaga disitu.


Peniaga air soya yang berpengalaman selama 10 tahun berniaga di bazar berkenaan, Abdul Manan Mat, 53, pula berpendapat, Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh para peniaga untuk mencari rezeki lebih.

"Alhamdulillah air soya saya sentiasa mendapat permintaan para pengunjung bazar ini kerana telah lama berniaga disini.

“Walaupun suasananya tidak sama dengan di bandar yang jumlah pengunjungnya lebih ramai, namun ianya amat berbaloi dengan harga sewa tapak yang begitu rendah.

"Ini amat membantu peniaga seperti kami, yang datang membeli di bazar ini bukan sahaja penduduk felda tetapi juga penduduk dari kampung berdekatan,” ujarnya.

Tag: