• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kagum Ketokohan Duta Khas Perdana Menteri

DUNGUN, 5 November- Mat Sam @ Mat Hassan Mat Adam, 82, atau lebih dikenali sebagai 'Pok Hassan' dari Kampung Tepus, amat mengkagumi ketokohan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Walaupun berada di Hulu Dungun dan tidak mahir menggunakan media sosial namun tidak menghalang dirinya untuk mengetahui perkembangan semasa mengenai tokoh berkenaan melalui akhbar dan juga majalah Warta Darul Iman yang diterbitkan oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

"Saya tidak pandai nak menggunakan media sosial namun sebagai warga emas saya tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan politik didalam negara melalui akhbar, dan sudah tentu saya mengikut rapat perkembangan beliau.

"Ketokohan Ahli Parlimen Marang itu tidak dapat dipertikaikan lagi termasuk kepetahannya berucap, dan bagaimana menyelesaikan segala konflik yang berlaku didalam negara, malah menjadi rujukan di luar negara serta pernah menyelesaikan konflik yang pernah berlaku di Timur Tengah suatu ketika dahulu, jadi jawatan itu memang bertepatan dengan beliau," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN ) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ke kediamannya, hari ini.

Baginya alasan tidak menguasai media sosial bukan menjadi halangan untuk dirinya tidak mengikuti perkembangan semasa mengenai tokoh yang pernah tersenarai sebagai 500 muslim berpengaruh di dunia bagi kategori pendakwah dan pembimbing rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan.

"Saya juga mengucapkan terima kasih jugalah kepada kerajaan negeri kerana mengedarkan Warta Darul Iman secara percuma, sudah tentu yang paling saya sukai yang memaparkan wajah tokoh yang saya kagumi ini.

"Dengan adanya Warta Darul Iman maka apa jua perkembangan yang berlaku didalam Negeri Terengganu dapat diikuti oleh seluruh rakyat tidak ketinggalan pada mereka yang berada di kawasan pedalaman," ujarnya.

 


Tag: