• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kaji Keperluan Hadkan Pengunjung Ke Perkampungan Budaya -Ariffin

KUALA NERUS, 4 September - Kerajaan Terengganu akan mengkaji keperluan untuk menghadkan jumlah kehadiran pengunjung ke Perkampungan Budaya di Muzium Negeri bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata perkara tersebut sudah berada dalam pemantauan pihaknya dan akan melakukan perbincangan pada masa yang sesuai.

"Kampung budaya baru bermula semalam, kita tengok dalam tiga hari percuma ni, sejauh mana sambutan, macam mana keadaan berlaku dan Insya-Allah kita buat pelan untuk perancangan seterusnya.

"Sebagaimana yang  telah dilakukan di santuari kelah oleh kerana permintaan tinggi terpaksa kita hadkan walaupun itu keuntungan yang sepatutnya kita dapat tetapi kita hadkannya.

"Jadi perkara ini juga kita akan bincang, mungkin sampai masa kita akan hadkan jumlah ke kampung budaya tetapi buat masa sekarang tak boleh lagi dan kita sedang melihat perkara ini...oleh kerana baru sangat kita tengok dulu sambutan macam mana," ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Festival Kebudayaan Terengganu 2020 di Warisan Sari Tok Jembal, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas tentang pematuhan SOP di pulau-pulau peranginan, Ariffin menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mereka juga membuat pemantauan tentang perkara ini.

"Kita dah nasihat kepada mereka, untuk jangka masa panjang pelancongan Terengganu wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan kami sendiri telah mengeluarkan panduan pelbagai acara kebudayaan yang dilancarkan di pulau redang dahulu.

"Insya-Allah akan ada perbincangan berterusan agar perkara ini tidak berlaku lagi," ujarnya.

Untuk rekod, perkampungan budaya yang dirasmikan semalam berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri.