• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Kakitangan Awam Digalak Lakukan Pemeriksaan Kesihatan



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 8 Januari- Kakitangan awam dinasihatkan sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan agar kekal bersemangat untuk bekerja.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, penjawat awam negeri khususnya harus menjaga kesihatan dan memberi perhatian serius dengan setiap perubahan berlaku dalam diri dengan menjalani pemeriksaan segera.

“Samada Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan yang bekerja di lapangan berkhidmat untuk masyarakat.

“Matlamat dan hasrat kita sudah tentu ingin melihat masyarakat didalam keadaan sejahtera, oleh itu perlu terlebih dahulu kita memastikan diri kita mempunyai kesihatan yang baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi, hari ini.

Katanya, sikap takut untuk mendapatkan rawatan perlu dielakkan.

“Kerana tanpa pemeriksaan kesihatan, kita tidak akan mengetahui apa masalah yang kita hadapi, paling tidak kita boleh melakukan perancangan awal dengan mendengar nasihat daripada doktor.

“Serta penting untuk kita melakukan aktiviti yang sihat seperti bersenam, beriadah di samping mengambil pemakanan yang sihat,” jelasnya.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa di peringkat PKMD telah mempunyai alternatif didalam melakukan ziarah kebajikan kepada rakyat.

“Kita akan bawa alat pemeriksaan tahap gula didalam darah dan sebagainya yang bersesuaian, dimana jika kita dapati perlu dibawa ke klinik, kita akan bawa bagi mendapatkan rawatan susulan,” ujarnya.

Tag: