• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

'Kalau Kemalangan Di Laut, Ibarat Mati Katak Sajalah'

KEMAMAN, 7 September- "Kalau tiada lesen, ibarat kalau kemalangan di laut dan mati, kita mati katak sajalah," luah Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Kemaman, Aziz A. Razak, 59.

Jelasnya, usaha kerajaan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) Terengganu mendapatkan lesen khas nelayan sampan bagi nelayan-nelayan negeri tersebut amat dihargai.

Aziz A. Razak.

"Bagi kita, nelayan ini memerlukan lesen kerana banyak manfaatnya, antaranya dari segi minyak subsidi, elaun sara hidup, perlindungan insuran yang dipotong dari elaun sara hidup serta urusan pinjaman bank.

"Contoh, kita hendak buat pinjaman membeli pukat, kalau tiada lesen sebagai dokumentasi utama, mereka (bank) tidak akan luluskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima lesen khas nelayan mewakili 32 nelayan Kuala Kemaman di Pantai Pangkalan Kijal, hari ini.

Tambahnya, selama ini rakan-rakan nelayan terpaksa 'menumpang' kuota mereka yang memiliki lesen untuk membeli minyak secara subsidi bagi menjimatkan sedikit kos operasi ke laut.

"Seperti saya yang ada kouta subsidi minyak sebanyak 6,000 liter, jadi apabila ada masa saya kurang 'turun' ke laut, bolehlah rakan-rakan meminjam kouta tersebut, jika tidak mereka terpaksa beli dengan harga komersial iaitu RM2.05 berbanding harga dengan subsidi (RM1.65)," katanya.

Manakala menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kijal, Yusuf Mamat, 74,  apabila mempunyai lesen, para nelayan rasa lebih selamat dan bebas untuk menangkap ikan.

Yusuf Mamat.

"Tambahan pula pada musim Covid-19 ini, jika tiada lesen pihak maritim (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) tidak galakkan kita labuh sauh. 

"Hari ini, saya dapat bantuan kawat bubu dan mewakili rakan-rakan nelayan Kijal sekitar 10 orang menerima lesen. Bantuan ini ringankan beban kami sedikit, jadi kalau boleh teruskan bantuan dan yang penting untuk lesen.

"Terima kasih yang telah menyalurkan bantuan. Ada lagi rakan-rakan nelayan yang tak dapat dan kami memohon agar baki yang lain akan dapat (lesen) juga nanti," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, penyerahan lesen tersebut menamatkan penantian lama golongan terbabit menjadi nelayan yang sah, berlesen dan mendapat hak serta keistimewaan sebagaimana yang lain. 

Dr. Azman menyerahkan lesen kepada nelayan secara pandu lalu.

"Tahun ini, sebanyak 600 lesen diluluskan daripada lebih 800 yang dipohon. Dalam proses pengeluaran lesen, sebahagian mereka juga tidak memenuhi kriteria, jadi kita akan isi semula dan JPM sedang memperincikan aspek teknikal dan beberapa pemutihan yang perlu.

"Lebih mudah, baki seramai 200 lebih ini insya-Allah akan dapat hak mereka setelah isu-isu teknikal dan perkara berkaitan diuruskan sebaiknya oleh JPM," katanya.

Beliau yang menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Khas Nelayan Sampan secara pandu lalu itu, hari ini turut menyampaikan bantuan touch point berbentuk barangan keperluan peralatan nelayan kepada 164 nelayan tempatan.

Turut hadir, ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kemaman.

Dalam program berkenaan, sebanyak 45 unjam rekreasi turut dilabuhkan bagi memperkaya hasil perikanan di kawasan tersebut.

Dr. Azman menyempurnakan kerja-kerja melabuh unjam di perairan Kijal, Kemaman.

 

 

 

 

 

 


Tag: