• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Kami dah banyak kali pindah ke PPS' - Mangsa

HULU TERENGGANU, 18 Disember - "Kami dah banyak kali pindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), setahun entah berapa kali dah," demikian kongsi Mariani Mohd Razali, 43, seorang daripada mangsa banjir di Kampung Tapah di sini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, kejadian banjir di kawasan itu sudah terlalu kerap berlaku hinggakan penduduk sendiri lali dengan keadaan itu.

Menurutnya, setiap kali tiba musim banjir, dia akan bersiap sedia untuk berpindah demi keselamatan mereka sekeluarga lebih-lebih lagi pada kali ini suami terkandas di Besut dan gagal dihubungi.

"Air mula naik pada jam 9 pagi apabila air sungai Berua melimpah susulan hujan lebat sejak  semalam.Melihat keadaan semakin teruk, saya buat keputusan untuk keluar ke PPS.

"Saya bersama tiga orang anak yang berusia 19 hingga lapan tahun terpaksa mengharungi air setinggi satu meter sejauh 500 meter untuk sampai ke PPS.Penat tapi demi keselamatan...terpaksa juga," ujarnya ketika ditemui di PPS Balairaya Kampung Tapah.

Malah katanya, kediaman mereka juga banyak kali dimasuki air hingga mengakibatkan peralatan dan kelengkapan rumah sering rosak.

"Sedih apabila memikirkannya, ada yang baru beli seperti perkakas elektrik tapi dah musnah lagi.Hanya redha dan tak mampu nak kata apa-apa, nasib baik dokumen penting dapat diselamatkan," jelas Mariani.

Seorang lagi mangsa banjir,  Norazlina Abdul Wahab, 33, berkata sudah lebih tiga kali dia pindah ke PPS termasuk rumah ayahnya kerana kawasan rumah sering banjir.

"Mahu kata lelah pun sudah tak tahu... sebab banjir berlaku setiap tahun. Barang-barang di dalam rumah rosak akibat ditenggelami banjir tidak mengapa, janji anak-anak selamat," kata ibu kepada dua anak itu.