• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Kampung Budaya Bakal Dilancarkan 3 September Ini

KUALA NERUS, 23 Ogos - Kampung Budaya berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan iaitu di Muzium Negeri akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 3 September ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kewujudan produk baharu itu secara tidak langsung juga dapat menonjolkan peranan Muzium Negeri Terengganu sebagai pusat rujukan tamadun Melayu. 


“Kita mahu tonjolkan keunikan seni warisan yang terdapat di setiap daerah di Terengganu, dan akan kita hidupkan suasana tradisi dalam persekitaran yang menyerupai kehidupan sebenar rakyat Terengganu dahulu kala di rumah-rumah tradisi yang ada. 


“Termasuk dengan menerapkan elemen sejarah dalam usaha memartabatkan adat budaya dan seni warisan negeri,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kursus Kampung Budaya di Quinara Al Safir Resort, semalam.


Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharum Tun Abdul Razak.


Ariffin berkata, terdapat beberapa perhentian rumah budaya dimana penerangan berkaitan Kampung Budaya serta demonstrasi pembuatan perahu akan diadakan di Galeri Pelayaran.


“Rumah Nelayan  pula memaparkan demonstrasi pembuatan jala, bubu, pembuatan budu belacan, ikan kering, kerepok lekor, otak-otak, satar dan kerepok kering sementara  Rumah Bujang Berserambi Selasar  berkaitan demonstrasi pembuatan seni khat, ukiran kayu, bubur assyura, berzanji, dan pameran barangan lama.


“Sementara Rumah Bujang Berkembar  diadakan demonstrasi anyaman tikar mengkuang, lidi dan kerecut, pembuatan terendak, buluh dan atap dan Rumah Limas Belanda pula demonstrasi pembuatan wau tradisional, permainan tradisional seperti congkak, batu selambut, gasing, dam aji serta demonstrasi pembuatan gasing,” jelasnya.


Tag: