• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kampung Budaya Dibuka, Bersedia Tarik Lebih Ramai Pengunjung

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kampung Budaya Terengganu dibuka kembali hari ini selepas ditutup pengoperasiannya akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pembukaan semula itu menawarkan tiket kemasukan secara percuma sehingga 31 Disember untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Jelasnya, promosi berkenaan juga bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman percutian bersejarah berlatar belakangkan suasana sebenar kehidupan masyarakat melayu lama di negeri ini.

"Sebelum ini dikenakan bayaran, jadi untuk merangsang kehadiran lebih ramai pengunjung, kita menawarkan promosi tersebut. Juga dijangka dalam waktu terdekat dengan vaksinasi sudah hampir kepada 90 peratus berkemungkinan apabila dibenarkan merentas negeri akan lebih ramai penduduk dan rakyat Malaysia datang ke Terengganu.

"Juga saya yakin pada awal tahun hadapan pelancong asing juga akan dibenarkan untuk datang ke negara atau Terengganu secara khususnya, maka saya mengalu-alukan semua untuk datang ke sini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Perkampungan Budaya, di Muzium negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, mengambil kira situasi semasa berhubung penularan wabak Covid-19, walaupun sektor pelancongan telah kembali dibenarkan, penting untuk memastikan pengunjung yang hadir telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

"Maka semua pihak perlu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepertimana yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Seperti sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama katanya, melalui peruntukan RM5.5 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan hasil kunjungan Menteri Kewangan Malaysia pada tahun lepas,  kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih beberapa bangunan sedang dijalankan.

"Ia membabitkan dewan untuk persembahan di samping menyediakan kemudahan infrastruktur yang dijangka akan diselesaikan pada akhir tahun 2022 untuk menjadikan perkampungan ini lebih menarik.

"Di mana kita telah berbincang untuk mengekalkan tradisi bangunan asal dan tidak pernah bercadang untuk buat pindaan kepada bangunan tersebut cuma akan melakukan penyelenggaraan bagi menambah baik dari segi persembahan dan acaranya untuk berperanan sebagai muzium 'hidup'," ujarnya.

Untuk rekod, antara aktiviti yang terdapat di Kampung Budaya Terengganu adalah lawatan ke lapan hentian yang terdiri daripada rumah-rumah tradisional yang unik dan mempunyai tarikan tersendiri.

Di antaranya, Rumah Nelayan, Rumah Bujang Berserambi Selasar, Rumah Bujang Berpeleh Berkembar, Rumah Limas Belanda, Rumah Tele dan sebuah istana yang diberi nama. Istana Tengku Long, selain Kapal Sabar dan Kapal Kemajuan yang ditempatkan di Galeri Pelayaran.

Selain itu juga pengunjung berpeluang melihat secara dekat demonstarsi pelbagai aktiviti tradisi yang diusahakan pendudukan tempatan.

 

 


Tag: