• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kampung Budaya Terengganu Ditutup Sementara


KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Produk pelancongan baharu iaitu Kampung Budaya Terengganu di Kompleks Muzium Negeri, Losong ditutup bermula semalam sehingga 31 Oktober 2020 berhubung peningkatan kes berkaitan pandemik Covid-19.

Jabatan Pelancongan negeri dalam satu kenyataan berkata, penutupan ini juga dilihat sebagai usaha dan inisiatif pengurusan Kampung Budaya Terengganu bagi mengekang dan mengawal penyebaran pandemik Covid-19 selaras dengan pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara, Negeri Terengganu (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Arahan penutupan ini melibatkan keseluruhan operasi serta pengisian program dan aktiviti di Kampung Budaya Terengganu kecuali kakitangan yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti keselamatan dan penyelenggaraan tertakluk kepada kelulusan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 ini dicegah demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan bersama,” kata kenyataan itu semalam.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa pihak pengurusan sentiasa memastikan tahap kesihatan kakitangan yang bertugas di Kampung Budaya Terengganu berada pada tahap terbaik sejak pembukaan Kampung Budaya Terengganu pada 3 September 2020,

“Sepanjang pengoperasian Kampung Budaya Terengganu juga, pihak pengurusan sentiasa memastikan pengunjung untuk wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dipatuhi pengunjung,”katanya.