• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kampung Budaya Terengganu Raih Anugerah Program Terbaik

KUALA TERENGGANU, 18 Disember- Kampung Budaya Terengganu terus mendapat pengiktirafan dalam industri pelancongan apabila sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Program Pelancongan Kebudayaan Terbaik oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Santai Travel Magazine.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, anugerah tersebut merupakan anugerah kedua yang diterima oleh Kampung Budaya Terengganu dalam masa tiga bulan.

Katanya, sebelum ini pihaknya menerima Anugerah Emas, kategori pusat pelancongan kebudayaan baharu sempena Majlis Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia di Sarawak pada 22 Oktober lalu.

“Turut menerima anugerah adalah Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (Program Pelancongan Pendidikan Terbaik), Primula Beach Hotel (Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel) dan Summer Bay Lang Tengah Island Resort (Aktiviti Pelancongan Resort Pulau Terbaik).

“Anugerah tersebut telah disampaikan di majlis gilang gemilang Malaysia Tourism Industry Award di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 16 Disember lepas,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, sebanyak 60 anugerah telah disampaikan kepada individu, agensi kerajaan dan penggiat industri pelancongan dan perhotelan di majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Tan Sri Dr Ong Hong Peng.