• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kampung Cina Bakal Dijenamakan Sebagai 'China Town'

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Kampung Cina yang terletak di pusat bandar akan dijenamakan semula kepada 'China Town'.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata langkah itu merupakan usaha kerajaan bagi menjadikan Kampung Cina sebagai destinasi pelancongan terkenal di peringkat antarabangsa.

Katanya, cadangan perubahan nama Kampung Cina kepada China Town itu secara tidak langsung akan mengubah wajah lokasi itu dan ia juga membuktikan kerajaan negeri tidak menyekat keperluan kaum lain sebagaimana ditohmah pihak tertentu.

"Di samping, mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong.

"Sekali gus, memberi limpahan manfaat kepada penduduk tempatan khususnya kepada penggiat industri pelancongan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 di Kuala Terengganu City Centre malam tadi.

Turut hadir Penasihat Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Alex Lee Yun Ping dan Presiden Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Dr. Wee Tiong Wah.

Tambah Razali, penjenamaan semula itu perlu dilakukan kerana Cina Peranakan Terengganu mempunyai keunikan tersendiri yang tidak sama dengan komuniti Cina di tempat lain.

"Termasuk dari segi pemakaian, pemakanan, bahasa dan pergaulan dengan masyarakat setempat.

"Ketika ini, terdapat kira-kira 1,000 Cina Peranakan berada di Kampung Cina tersebut," ujarnya.

Untuk rekod, China Town ini sudah wujud di banyak lokasi pelancongan terkenal seluruh dunia dan ia adalah satu jenama yang kuat dalam memperkenalkan budaya, seni serta keunikan masyarakat Cina Peranakan di Terengganu.

Razali berkata selain menjenamakan semula Kampung Cina, kerajaan negeri juga merancang untuk membangunkan Kampung Fikri di Setiu dan Kampung Tiruk di Marang, sebagai lokasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) pada tahun depan.

 


Tag: