• 27 Sept 2021 | 19 Safar 1443

Kampung Langgar Juarai Pertandingan Program Bubur Asyura Kuala Berang

Hulu Terengganu, 11 September - Kampung Langgar muncul johan dalam pertandingan Program Bubur Asyura anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang setelah berjaya mengetepikan pesaing kampung lain dalam DUN Kuala Berang yang bertanding.

ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata dua perkara utama telah dibuktikan oleh Kampung Langgar untuk muncul johan pertandingan ini.

"Antara faktor kemenangan Kampung Langgar adalah kerjasama berpasukan yang baik dalam mengendalikan pasukan untuk memenangi pertandingan yang julung kalinya diadakan di Kuala Berang setelah setengah penggal pemerintahan kerajaan yang baru ini.

"Resipi bubur asyura juga merupakan faktor utama kepada kemenangan ini dan kampung lain pun tidak kurang hebat untuk menghasilkan bubur asyura yang terbaik, sangat sukar untuk memilih yang paling sedap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyampaikan hadiah dan saguhati kepada wakil kampung yang menyertai Program Bubur Asyura ini di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang.

Menurut Dr Mamad, beliau sangat gembira dengan penyertaan kampung yang terlibat dalam program ini dan bubur asyura ini telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang setelah selesai program.

"Saya gembira kerana program ini mendapat sambutan meriah dari kampung-kampung yang terlibat menjayakan program ini. Ini satu perkembangan yang baik buat warga Kuala berang kerana mereka menyertai program ini sebenarnya bukan sekadar mahu menang, tapi lebih kepada untuk mengeratkan ukhuwah.

"InsyaAllah tahun depan kita akan buat lagi dengan lebih meriah dan saya berharap lebih banyak lagi penyertaan dari kampung-kampung yang lain," tambahnya.

Sebanyak sebelas kawah bubur asyura berjaya dibuat dan telah diagihkan sendiri oleh Dr Mamad kepada penduduk Kuala Berang yang melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang.