• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kampung Teris Jadi Model Ladang Buluh Januari 2021

HULU TERENGGANU, 19 Disember - Kampung Teris bakal menjadi perintis bagi projek model ladang buluh pertama di Malaysia dengan kos sebanyak RM5 juta yang akan dilaksanakan pada Januari 2021.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia akan melibatkan tanah seluas 15 hektar milik Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC).

Katanya, projek berkenaan bakal menjadi pusat rujukan semua pihak di samping berpotensi sebagai pusat eko-pelancongan buluh di Malaysia. 

"Untuk permulaan kita akan tanam lima spesies buluh iaitu betung, beting, beti, semantan dan hitam. 

"Jika pembangunan ladang buluh dapat diusahakan dan diuruskan secara mampan, ia mampu menjadi salah satu sumber pendapatan baharu kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

"Melalui penubuhan model buluh ini kita bukan sahaja dapat menghasilkan sumber pokok induk yang berkualiti, bahkan menjamin ketersediaan bahan mentah bagi kegunaan pihak industri buluh di samping sebagai sumber alternatif kayu di Malaysia," katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan permeteraian memorandum perjanjian (MoA) projek Model Ladang Buluh di TTITC hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar;  Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mad Zaidi Mohd. Karli; Pengerusi TTITC, Muhyidin Abdul Rashid di samping Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mohd. Kheiruddin Mohd. Rani. 

Tambah beliau, tempoh kematangan buluh adalah singkat berbanding pokok kayu.

"Buluh memiliki tempoh matang singkat antara empat ke lima tahun berbanding tempoh matang pokok kayu yang sekurang-kurangnya 15 tahun," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan menawarkan pinjaman mudah sebanyak RM500 juta kepada pihak industri, koperasi dan agensi yang berminat mengusahakan penanaman buluh secara komersial. 

"Bagi setiap satu hektar, pengusaha dijangka boleh mendapat hasil sehingga RM36,000 selepas tempoh matang empat tahun," katanya. 


Tag: