• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Karnival Beautiful Terengganu 2022 Serlah Tarikan Baharu Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU, 19 Mac- Karnival Beautiful Terengganu 2022 yang diadakan sejak Khamis lalu, secara tidak langsung membuka dimensi baru pelancongan Tasik Kenyir.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, karnival yang berlangsung di Pulau Poh, merupakan pembukaan kepada 22 kalendar Pelancongan Terengganu tahun ini.

"Kita harap, selepas ini Pulau Poh akan terus dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti ditambah dengan kemudahan yang menepati kehendak penganjuran acara berskala besar.

"Dengan pembukaan Pula Poh sebagai elemen terbaru perniagaan dalam penganjuran acara, ia akan menarik lebih ramai pengunjung ke Tasik Kenyir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian karnival tersebut yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh, semalam.

Sepanjang karnival berkenaan, pelbagai aktiviti diadakan seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, pertandingan bot berhias, jualan pakej pelancongan oleh pemain industri dan sebagainya.

Tahun ini, kerajaan Terengganu telah merancang 22 acara utama untuk mewarnai kalendar pelancongan pada tahun ini antaranya Festival Warisan Sungai, Karnival Candat Sotong (April), Karnival Budaya Terengganu (Jun), Karnival Pantai (Julai), Terengganu International Air Festival (Ogos), Tenggiri Challenge dan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (September), Alami Rasa Terengganu (Oktober), Tasik Puteri Jet Ski Challenge (November) dan Monsoon Casting Tournament (Disember).


Tag: