• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Karnival Beautiful Terengganu Catat Rekod RM1 Juta Hasil Jualan

KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri (JPNT) berjaya merekodkan hampir RM1 juta hasil jualan sepanjang penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria berkata, jumlah itu dikira berdasarkan kutipan RM820,000 hasil daripada jualan produk usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan promosi pakej pelancongan.

Katanya, manakala pembelian pakej promosi perkhidmatan pula hampir RM80,000 yang ditawarkan oleh 20 syarikat pelancongan yang terlibat.

“Kutipan itu tidak termasuk hasil limpahan ekonomi yang diperoleh pengusaha hotel atau homestay berdekatan, peniaga warung dan peniaga kecil di kawasan sekitar.

“Jumlah pengunjung turut melebihi sasaran di mana pihak JPNT berjaya merekodkan kira-kira 150,000 pengunjung berbanding hanya 100,000 pengunjung yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Tambah Fadli, kejayaan penganjuran KBTM 2023 akan menjadi penanda aras bagi penganjuran seterusnya yang dilihat sebagai platform terbaik bagi penggiat industri pelancongan negeri.

Khususnya, dalam mempromosi dan memasarkan produk dan pakej pelancongan masing-masing kepada pengunjung secara berdepan.

Sementara itu, pelbagai pengisian menarik dan aktiviti interaktif yang tawarkan oleh para pemain industri, termasuk pelbagai agensi berkaitan sektor pelancongan di negeri ini.

“Pada masa sama dapat membuka ruang kepada usahawan untuk melebarkan sayap perniagaan masing-masing,” katanya.

 

 

 

 


Tag: