• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Karnival Mencandat Sotong TNB Jadi Acara Tahunan



Kerajaan negeri mahu supaya Karnival Mencandat Sotong Tenaga Nasional Berhad (TNB) di perairan Pulau Kapas, Marang dijadikan sebagai aktiviti tahunan dalam kalendar pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri,  A.Latiff Awang, berkata program itu bukan hanya mendapat sambutan di kalangan masyarakat tempatan, malah daripada pengunjung luar  Terengganu yang mahu menikmati percutian yang unik sambil merasai pengalaman menaikkan sotong.

"Penganjuran Karnival Mencandat Sotong TNB 2017 ini secara tidak langsung menandakan bermulanya musim mencandat sotong di perairan Terengganu dan bakal menggamit kehadiran ribuan peminat aktiviti laut berkenaan.

"Pada masa yang sama, kejayaan pihak TNB menarik penyertaan 450 peserta dengan penggunaan sepenuhnya bot -bot nelayan di Daerah Marang amat memberi nilai serta impak yang besar bukan sahaja kepada industri pelancongan daerah dan negeri, malah turut merancakkan lagi penjanaan ekonomi masyarakat setempat yang sebahagian besarnya bergantung kepada aktiviti di laut sebagai sumber mata pencarian,"katanya.

 Beliau berkata demikian ketika melancarkan program itu, di Jeti Pelancongan Marang, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat TNB, Dato Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, Pegawai Daerah Marang Zainal Abidin Mohamed dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Pengurusan dan Acara Negeri, Ahmad Fathil Abd Ghani.



A. Latiff berkata, TNB sebagai sebuah badan korporat terunggul menyediakan perkhidmatan bekalan elektrik terbesar negara turut aktif menjalankan tanggungjawab sosial korporat seperti menyediakan van jenazah dan rumah kos rendah kepada golongan yang memerlukan dan tidak bernasib baik di negara ini.

Sebanyak 46 bot melibatkan seramai 450 peserta di kalangan kakitangan TNB seluruh Malaysia bersama keluarga masing-masing menyertai acara dua hari yang bermula 15 April itu.

Kategori yang dipertandingkan adalah kumpulan dengan tangkapan sotong terbanyak, Individu dengan tangkapan sotong terbanyak dan individu dengan tangkapan sotong terpanjang.

Selain itu, pertandingan masakan berasaskan sotong juga dipertandingan. Sebanyak 15 pasukan mengambil bahagian.


Tag: