• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Katil Hospital, Kerusi Roda Ringan Beban Rakyat DUN Cukai

KEMAMAN, 6 Oktober - Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berterusan mendapat manfaat daripada kerajaan negeri dengan bantuan katil hospital dan kerusi roda bagi mereka yang memerlukan.

Bantuan tersebut bertujuan untuk memudahkan urusan bagi mereka yang sakit terlantar di rumah, sukar bergerak serta membantu melancarkan atau melakukan aktiviti harian.

Dengan harga pasaran bagi sebuah katil hospital mencecah RM1,600 atas manakala sebuah kerusi roda pula sekitar harga RM250 ke atas, ianya sudah tentu sukar diperolehi bagi mereka yang kurang berkemampuan. 

Rakyat DUN Cukai yang memerlukan bantuan itu boleh memohon di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing. 

Pembantu Penyelia Hal Ehwal Masyarakat, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Cukai, Abdul Hafiz Ghazali berkata, sehingga bulan September bagi tahun ini, pihaknya telah menyerahkan sebanyak 17 buah katil hospital dan 32 buah kerusi roda kepada mereka yang memerlukannya. 

"Atas arahan Yang Berhormat (YB) Hanafiah Mat, kami sentiasa mengutamakan permasalahan yang dialami oleh mereka yang memerlukan bantuan seperti ini. 

Kebiasaaannya, dalam setiap bulan sudah tentu ada kes mereka yang memerlukan bantuan ini. Menerima maklumat daripada MPKK, dan mendapat kelulusan daripada YB Hanafiah, kita akan segera menghantar bantuan ini kepada mereka yang memerlukannya," ujarnya.

Kata Hafiz lagi, jika berkelapangan, Hanafiah sendiri akan turun padang bertemu dan menghantar kepada mereka yang menerima bantuan ini. 

"Seperti kita tahu, YB Hanafiah Mat juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, sudah tentu ianya mempunyai jadual aktiviti harian yang padat. 

Jika tidak berkesempatan bersama, beliau tetap akan mengarahkan kami untuk menghantar segera  kepada mereka (penerima) ini," katanya lagi. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kerusi roda kepada seorang pesakit saraf, Chik Embong, 72 tahun yang tinggal di Rumah Murah Fikri, semalam.

Sumbangan tersebut diterima oleh suaminya, Zakari Mohammed. Beliau (Zakari) turut menerima sumbangan beras dan barangan dapur. Turut bersama, Pengerusi MPKK Kampung Fikri, Mahmood Bakar.


Tag: