• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Kaum India Terbela Di Bumi Terengganu

DUNGUN, 9 Oktober - Walaupun komuniti kaum India tidak ramai di Terengganu, tetapi kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mereka dan mereka juga menerima bantuan seperti rakyat yang lain. 

Seorang pemuda India, Anbalangan  Sathanathan, 26, yang tinggal di Tanah Lot berkata, beliau merasai kelainan pemerintahan yang ada sekarang berbanding sebelum ini.

"Saya tidak minat politik, tetapi saya sekarang saya banyak dapat bantuan, bantuan masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dan hari ini dapat bantuan hanya untuk orang India sahaja," katanya. 

Anbalangan yang merupakan anak kelahiran Dungun dan keluarganya adalah satu-satunya kaum India di Bandar Dungun itu ditemui ketika menerima Kotak MITRA 2021 daripada Pegawai Khas Parlimen Dungun,  Cikgu Mohd Amin Hamid di Pejabat Pas Kawasan Dungun di sini. 

Kotak MITRA adalah sumbangan berupa bakul makanan yang disumbangkan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN). 

Dalam majlis ringkas itu, turut hadir, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Dungun, Serena Lim Abdullah.

Menurut Serena, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan KPN untuk menjaga kesejahteraan hubungan antara kaum bagi mencapai Keluarga Malaysia.

"Tidak kira agama, bangsa dan apa fahaman politik asal rakyat Malaysia akan dijaga kebajikan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Negeri Terengganu, Dr. Balachandran G. Krishnan memberitahu, DHPP adalah sayap Pas yang menjaga kebajikan non-Muslim. 

"Sekali gus membuktikan Pas prihatin kepada semua kaum tanpa mengira agama dan fahaman politik. 

"DHPP  akan membantu menangkan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15)," katanya ketika Program Agihan Bakul Makanan untuk golongan miskin non-muslim.

Seramai 40 orang di Wakaf Tapai dan  Pengkalan Berangan, Marang menerima bantuan tersebut yang turut dihadiri Ketua Dewan Muslimat Pas Marang, To' Puan Hajah Zarani Othman baru-baru ini. 


Tag: