• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

KBSS Serah Sumbangan Air Minuman Kepada Anak Didik Akademi Pesilat Cilik

DUNGUN, 14 Disember - Kelab Belia Sahabat Sejahtera (KBSS) mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan beberapa kotak minuman air botol 100 plus kepada anak-anak didik Akademi Pesilat Cilik (APC) bagi memberi semangat kepada mereka yang menyertai Kejohanan Karnival Silat Kebangsaan (KSK) Negeri Terengganu 2023.

Pengerusi KBSS, Farhan Yaacob berkata, sumbangan yang diberikan diharapkan dapat membantu anak-anak pesilat dari Paka mempersiapkan diri dengan lebih baik pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Disember ini.

Selain itu, beliau turut mengucapkan selamat maju jaya dan berjaya membawa pulang pingat ke Paka dalam kejohanan tersebut.

"Kami mendoakan kejayaan kepada semua anak-anak Paka yang menyertai kejohanan ini serta semoga ada pingat dibawa pulang ke Paka insyaAllah," ujarnya kepada pemberita selepas membuat penyerahan air 100plus di pusat latihan APC, semalam.

Katanya, APC telah melahirkan beberapa pesilat berbakat dari kalangan anak-anak Paka, dan ada beberapa pesilat telah berjaya di peringkat yang lebih tinggi beberapa tahun lalu.

"KSK Negeri Terengganu 2023 dijangka akan menarik penyertaan daripada pelbagai akademi silat di seluruh negeri bakal mengadakan kejohanan berkenaan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada 14 Disember hingga 17 Disember.

"Semoga kehadiran mereka di KSK Negeri Terengganu 2023 dapat menjadi sumber inspirasi dan kebanggaan bukan hanya untuk Paka, tetapi untuk seluruh negeri Terengganu," ujarnya.


Tag: