lightning-solid
Berita :
Kebajikan Rakyat Jadi Taruhan, KPKT Diminta Elak PRR Jeram Jadi Projek ‘Sakit’
Kebajikan Rakyat Jadi Taruhan, KPKT Diminta Elak PRR Jeram Jadi Projek ‘Sakit’
Zuhdi Abdullah
3 jam yang lepas
84

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa memberikan komitmen jitu dalam memastikan Program Residensi Rakyat (PRR) Jeram dimulakan segera tanpa sebarang penangguhan birokrasi yang berlanjutan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak, berkata rakyat di kawasan Kuala Nerus sudah lama menanti pelaksanaan projek perumahan tersebut yang kini dilaporkan berada dalam fasa penganugerahan tender.

Beliau berkata, proses penganugerahan tender tersebut dijangka selesai pada akhir April tahun ini, namun kebimbangan timbul sekiranya berlaku lagi kelewatan dalam fasa permulaan kerja.

"Rakyat Kuala Nerus telah lama menanti projek ini dimulakan. Saya menuntut komitmen serius daripada KPKT agar proses penganugerahan ini tidak lagi tertangguh," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Semalam.

Dr. Alias turut mempersoalkan mekanisme kementerian dalam menapis kontraktor bagi memastikan syarikat yang dipilih mempunyai keupayaan kewangan dan teknikal (financial and technical capability) yang kukuh.

Tegas beliau, kegagalan memilih kontraktor yang berwibawa hanya akan menyebabkan projek tersebut terbengkalai atau 'tersangkut' di tengah jalan, sekali gus mengecewakan harapan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

"Apakah jaminan kementerian bahawa kontraktor yang bakal dipilih nanti benar-benar berkemampuan bagi memastikan projek ini tidak tersangkut?

"Kita tidak mahu proses 'ketelusan' tender ini akhirnya sekadar menjadi alasan birokrasi yang melengah-lengahkan pembinaan rumah mampu milik di Kuala Nerus," katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan