BESUT, 11 Julai – Isu kecurian kabel yang berlaku di beberapa jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak pelaksana termasuk Kerajaan Negeri kerana dikhuatiri menjejaskan kelancaran pembinaan serta proses pentauliahan projek nasional berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, insiden itu sememangnya berlaku dan perlu ditangani segera agar tidak memberi kesan negatif terhadap jadual 'testing and commissioning'.
“Apabila kita uar-uarkan isu kecurian kabel ini, ia membuka mata banyak pihak agar lebih berwaspada dalam memastikan kelangsungan projek nasional ini.
“Kita telah mengenal pasti kawasan-kawasan ‘titik panas’ dan mengambil tindakan dengan melantik beberapa perkhidmatan kawalan keselamatan untuk pemantauan serta mempergiat rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Tapak Cadangan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) ECRL di Jerteh, kelmarin.
Tambah beliau, usaha pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan sejak tiga bulan lalu telah menunjukkan pengurangan kes kecurian.
“Harapan kita adalah untuk memastikan momentum pembinaan ECRL dapat diteruskan tanpa gangguan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata pihak Kerajaan Negeri akan meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Daerah supaya bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam memantau sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan projek.
“JPKK boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa, bukan untuk mengambil tindakan, tetapi bagi memerhati dan melaporkan segera sekiranya terdapat sebarang aktiviti luar biasa,” katanya.