Kedai Runcit Tetap 'On' Walaupun Banjir

HULU TERENGGANU, 15 Disember - Bukan semua orang sanggup bertahan berendam dalam air banjir tetapi bagi seorang peniaga kedai runcit di Kampung Nibong, Hulu Telemong, dia tetap gigih mencari rezeki.

Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 48, berkata dia tiada pilihan lain memandangkan masih mempunyai tanggungan yang perlu disara di rumah.

Menurutnya, keputusan itu dibuat apabila memikirkan keperluan orang kampung yang yang merupakan pelanggan rasmi di kedainya selain memahami kesukaran di hadapi mereka untuk mencari bekalan memasak di rumah dalam situasi banjir ketika ini.

"Walaupun kami terpaksa berendam kaki dalam air yang keruh dan kesejukan, namun kami tetapkan sediakan bekalan untuk mereka. 

"Lagipun tempat kami berniaga dikatakan lokasi yang selamat kerana paras air adalah tidak tinggi aliran air juga tidak deras sekiranya banjir tidak besar," ujarnya yang turut dibantu suaminya Kamaruzaman Othman, 43.

Tambah Engku Hasmah, dia dan suami akan terus membuka kedai mereka bagaimanapun akan menutupnya sekiranya keadaan banjir semakin buruk demi keselamatan bersama.

Sementara itu Kamaruzaman berkata, hadapan kedainya menjadi lokasi pesta air bagi kanak-kanak terutamanya termasuk anak-anak muda.

"Fenomena pesta air berlaku hanya dalam tempoh seminggu lebih sahaja. Jadi saya akan memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaik mungkin untuk meraih keuntungan.

"Musim hujan memang kita cepat rasa lapar dan tak banyak gerai dibuka di sini sepanjang banjir," katanya yang memulakan operasi kedainya bermula jam 6 pagi hingga 11 malam.

Terkini, mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 330 mangsa sehingga jam 4 petang ini.