• 14 Apr 2021 | 2 Ramadhan 1442

Kediaman Terbakar, ADUN Manir Sumbang Bantuan Segera

HULU TERENGGANU, 21 Disember - Nasib 13 mangsa kebakaran melibatkan dua kediaman di kampung Beladau Kolam Manir semalam, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun.

Mangsa, Razman Razak, 45, dan Abdul Halim Mahmud, 40, menerima sumbangan wang tunai bantuan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Manir ketika turun diziarahi selepas kejadian itu.

Ustaz Hilmi berkata, sumbangan tersebut adalah tanggungjawab sosial dan sebagai tanda prihatin pihaknya kepada warga DUN.

“Biarpun masih belum mencukupi untuk menampung jumlah diperlukan, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mangsa,” jelasnya ketika ditemui pihak media semalam.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.

Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Manir, Ustaz Syuqiman Tahar berkata, pembinaan rumah baharu akan dilakukan secepat mungkin sebaik sahaja pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai menjalankan siasatan.

“Agensi kerajaan negeri iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan PKM DUN Manir bertanggungjawab membantu mendirikan balik rumah yang musnah dalam kebakaran ini," katanya.

Dilaporkan semasa kejadian, tuan rumah Razman berada di sangkar ternakan ikannya dan ketika kejadian juga anak-anak bermain di luar rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.