• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kedutaan Perancis Anjur Program Bersih Pantai di Terengganu

KEMAMAN, 7 Jun - Ketua Jabatan Pendidikan Kedutaan Perancis di Malaysia, Anaïs Deschamps membawa pelajar Bahasa Perancis menyertai dalam satu usaha bersama dengan Geng Plastik Ija (GPI) bagi program pembersihan pantai yang diadakan di Pantai Telekom, Kemasik. 

Ahli Jawatankuasa GPI, Normazita Ali berkata program itu merupakan kerjasama antara GPI dan Kedutaan Perancis sempena kempen ‘Odyssee Plastique’ yang dihadiri oleh pelajar-pelajar Bahasa Perancis dari tujuh buah sekolah di seluruh Terengganu.

“Program yang berlangsung pada lima hingga enam Jun lepas melibatkan seramai 165 sukarelawan. Mereka terdiri daripada pelajar, guru Bahasa Perancis, kakitangan Kedutaan Perancis seramai, penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan keluarga GPI. 

“Aktiviti utama termasuklah pembersihan pantai dan pengasingan sampah kepada 14 kategori. Data dari pengasingan sampah ini akan dihantar ke penyelidik di Hong Kong untuk analisis,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Program itu mendapat sokongan penuh dari Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), yang sentiasa membantu mempermudahkan pelaksanaan program-program GPI

Tambah Normazita, pasukan penyelidik UMT turut serta bagi menjalankan kajian iaitu mengambil sampel mikroplastik di pantai tesebut untuk penyelidikan. 

“Pasir nampak bersih, tapi bila ditapis dengan tapis halus, nampaklah mikroplastik yang bersembunyi di sebalik pasir pantai,” tambahnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Anaïs Deschamps menyatakan bahawa Kedutaan Perancis menganjurkan program ‘Odyssée Plastique’ untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada pelajar di sekolah menengah di Terengganu yang mengambil mata pelajaran Bahasa Perancis mengenai pencemaran alam dan pencemaran plastik. 

“Pembersihan pantai adalah salah satu program untuk mendedahkan pelajar kepada masalah ini.

“Selain pembersihan pantai, beberapa bengkel, ceramah, dan aktiviti lain juga dijalankan sepanjang dua hari program tersebut. Seramai 120 pelajar terlibat dalam program ini,” tambah Anaïs.

Anaïs menambah, program sebegini adalah kali pertama kolaborasi antara GPI dan Kedutaan Perancis. Mereka kagum dengan keindahan pantai di Terengganu dan menekankan kepentingan untuk menjaga kebersihan pantai bersama-sama.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Dukungan dan kerjasama anda sangat dihargai dalam usaha menjaga kebersihan pantai Terengganu,” ujarnya.

 

 


Tag: