DUNGUN, 6 Julai - Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Dungun telah berjaya membanteras kegiatan judi laga ikan di Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya yang membabitkan 15 lelaki Melayu berusia lingkungan usia 20 hingga 56 tahun.
Ketua Polis Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari JSJ pada 3 Julai telah menahan kesemua suspek ketika sedang leka menjalankan kegiatan tersebut di sebuah pondok yang terletak di belakang sebuah rumah suspek yang turut ditahan pada jam 12.30 tengahari.
"Kita telah berjaya merampas sebanyak 26 botol kecil dan lima balang besar yang mengandungi 31 ekor ikan laga,satu kotak gabus, satu bakul sulaman beserta dua beg kanvas yang mengandungi wang tunai sebanyak RM 950.00 dan satu kotak kabus.
"Dalam pada itu tiga serkap ayam juga turut dirampas dipercayai mungkin mereka turut bercadang mengadakan judi laga ayam.
"Namun ketika serbuan hanya mendapati kesemua mereka hanya mengadakan judi laga ikan," ujarnya ketika mengadakan sidang media mengulas mengenai kejayaan membanteras kegiatan haram tersebut, di Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Baharudin berkata 11 antara mereka didapati mempunyai rekod melakukan kesalahan jenayah lampau termasuk terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
"Namun ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua mereka yang ditahan negatif.
"Kita juga yakin dan percaya kesemua mereka ini saling mengenali yang berkemungkinan menggunakan aplikasi 'whatsapp' untuk saling berhubung dan mengadakan pertemuan bagi menjalankan kegiatan terlarang ini.
"Kesemua mereka ini datang dari sekitar Dungun serta daerah berdekatan, kita juga yakin dan percaya telah beroperasi dalam dua atau tiga hari sebelum tangkapan dibuat daripada maklumat yang kita dapat," ujarnya.
Katanya, kesemua mereka akan menjalani siasatan dibawah Seksyen 6(3) Akta pertaruhan 1953.
"Membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak lebih RM 20,000 atau kedua-duanya.
"Manakala kesalahan melakukan penganiayaan terhadap haiwan bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa kepada hukuman tidak kurang RM 20,000 dan tidak lebih RM 100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kesemua mereka juga telah dikenakan kompaun Dibawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan," tegas beliau.