• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kehebatan Orang Terengganu Rentas Samudera Jadi Pameran

KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri merungkai sejarah kehebatan generasi terdahulu dalam ilmu pelayaran merentasi samudera dengan kapal yang diciptakan melalui pameran yang diadakan.

Ahli Lembaga Pengarah PSKT, Zuraida Md. Noor berkata, pameran yang diadakan dengan gabung jalin dua jabatan itu merupakan usaha mendidik generasi kini agar mengenali sejarah sekali gus memupuk perasaan cinta terhadap nilai sejarah yang dimiliki.

“Pada zaman Revolusi Industri 4.0, sudah tentu tidak semua orang mengetahui bahawa Terengganu terkenal dengan ilmu pelayaran yang cukup dikagumi oleh pelayar-pelayar dunia suatu ketika dahulu.

“Terengganu juga telah berjaya membina kapal-kapal besar seperti Perahu Besar Pinis Gobel dan juga terkenal dalam penciptaan perahu sama ada secara tradisional mahupun moden.

“Terutamanya penduduk Pulau Duyong telah menggunakan bidang sains dan teknologi ini semenjak dahulu sekali gus membuktikan kepakaran dan kemahiran orang Terengganu dalam bidang ini sehingga dipandang hebat di mata dunia,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pelancaran Pameran Bertema Samudera : Pelayaran Merentas Lautan Biru di PSKT, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Ekskutif PSKT, Johan Ibrahim dan wakil Muzium Negeri Terengganu, Saberi Muda.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, justeru hasrat tersebut perlu disambut baik oleh semua pihak serta perlu dihebahkan di semua peringkat.

“Agar ia diberi perhatian, khususnya anak-anak pelajar agar nilai-nilai sejarah dihargai oleh seluruh rakyat Terengganu secara umumnya.

“Supaya status penting mengenai sejarah ini akan diketahui serta diterokai, juga mengetahui bagaimana Islam itu bertapak melalui hubungan perdagangan yang telah dirintis melalui samudera,” ujarnya. 

Melalui galeri pameran itu pengunjung akan merasai suasana pembelajaran tentang cara pembuatan kapal dengan gabungan konsep sains dan teknologi secara santai bermula bulan April sehingga Jun.

Kesemua jenis perahu warisan negeri seperti Kolek Lincang, Bedar, Haluan Katup, Jalur, Kajangan, Payang, Sekoci dan Perahu Besar Pinis Gopel serta Bot Belakang Potong dipamerkan dalam galeri pameran berkenaan.