• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kehilangan Besar Sukan Rugbi Terengganu - Exco Sukan

KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Kerajaan negeri menyifatkan pemergian ketua jurulatih skuad ragbi Terengganu, Izaimi Zainuddin sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja buat sukan ragbi Terengganu tetapi juga buat negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Allahyarham adalah antara individu yang begitu komited dalam pembangunan sukan, bukan sahaja di Terengganu tetapi juga di peringkat kebangsaan.

"Sudah tentu pemergian Allahyarham satu kehilangan besar khususnya di Terengganu terutama dalam pembangunan sukan ragbi pada peringkat akar umbi.

"Kami begitu terasa kehilangannya kerana sukan ragbi antara yang kita sasarkan untuk mendapat pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma), lagipun sekarang sukan itu berada pada landasan terbaik untuk mengutip pingat.

"Jika diimbas kembali baru-baru ini kita sudah selesai pertandingan ragbi yang diadakan di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Gong Badak, jadi ketika kita mengilap bakat-bakat yang ada ini, tiba-tiba berlaku kematian, jadi sudah tentulah warga ragbi agak terasa kehilangannya.

"Bagaimanapun kita yakin dengan asas yang dibina oleh Allahyarham, kita akan meneruskan kesinambungan bagi memastikan sukan itu terus bertapak kukuh di Terengganu lebih-lebih lagi stadium baharu dinaik taraf baru-baru ini," katanya selepas merasmikan Marang Monsoon Challenge di Marang hari ini.

Terdahulu, Izaimi, 48 menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.45 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan kuman susulan pembedahan kerongkong di hospital berkenaan pada Khamis.

Allahyarham yang juga guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Terengganu adalah ketua jurulatih skuad Piala Agong dan Sukma Terengganu bermula 2017 hingga kini. Allahyarham juga pernah membimbing skuad negara Bawah-15 (B-15), B-17, B-19 dan B-20.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor.