• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kejutan `Candid Surprise' Kian Mendapat Permintaan

Antara hasil kerja dan kreativiti Candid Surprise yang diusahakan pasangan suami isteri dari Ajil, Hulu Terengganu kini kian mendapat tempat di hati pelanggan.


Siapa sangka perniagaan 'Candid Suprise' yang diilhamkan sepasang suami isteri muda, Syed Ahmad Fakril Hadi Syed Abd Aziz,33, dengan Nur Hidayu Che Hasin,32, sebagai perancang kejutan,  kini mampu menjana pendapatan lumayan.

Bagi kebanyakan orang, perancang majlis bukan kerjaya atau tugas yang asing, namun berbeza bagi perancang kejutan yang dilihat masih baharu di negara ini dan popularitinya melonjak akhir-akhir ini tanpa diketahui siapa pelopor yang memperkenalkannya.


Bertanggungjawab sebagai perantara yang membuahkan bibit-bibit kasih sayang antara si pengirim dan penerimanya, Hidayu menganggap tugasnya sebagai perancang kejutan untuk pasangan suami isteri, kekasih, rakan-rakan, ahli keluarga atau sesiapa sahaja, umpama meraikan hubungan yang terjalin antara mereka.

Perniagaan yang mula beroperasi sejak tiga tahun lalu beralamat di Ajil Hulu Terengganu, membuktikan bahawa tidak sukar untuk memperoleh kejayaan jika mempunyai idea yang bernas dan menarik, apatah lagi di zaman yang serba moden ini.

Jelas Hidayu, bermula dengan menghebahkannya di laman sosial seperti facebook dan instagram, dia tidak menyangka perkhidmatan yang ditawarkan dengan pelbagai pakej serendah RM100 sehingga RM500 itu mendapat perhatian dan sambutan daripada ramai kenalan.

Hidayu bersama suami dan anak-anak

“Sebelum saya mengiklankan perkhidmatan ini di laman sosial, kami membuat kajian dengan menawarkan khidmat ini kepada keluarga terdekat dan rakan-rakan untuk melihat hasil dan komen mereka,”katanya.

Hidayu berkata,  jika ramai orang  merasakan perkhidmatan itu tidak mampu menjana pendapatan lumayan, mereka mungkin silap kerana setiap hari,apa jua sambutan atau musim perayaan, pasti ada sahaja tempahan daripada pelanggan baharu dan yang sedia ada.

Menceritakan bagaimana perniagaan tersebut menjadi pilihan Hidayu, ianya bermula sejak melihat kejayaan kakak iparnya di Kuala Lumpur yang menjalankan perkhidmatan itu sebagai sumber pendapatan sampingan.

Bermodalkan hanya RM1,000 dan mempromosi menerusi atas talian, Hidayu memperolehi keuntungan berlipat ganda dalam tempoh sebulan sebelum mampu meraih pendapatan sehingga RM16,000 selepas setahun beroperasi dan meluaskan perniagaan di seluruh Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Marang.

Kini 'Candid Suprise' mengorak langkah lebih jauh apabila berjaya mendapat tempat dihati artis-artis ternama seperti Amy Mastura, Linda Rafar dan pengasas D'Herb Dato' Aliff Syukri juga antara pelanggan tetapnya.


"Kita juga tawarkan hiasan untuk majlis-majlis seperti hari jadi,ulang tahun perkhawinan dan sebagainya dengan harga mampu milik dan tidak bebankan pelanggan bermula dengan RM200 hingga RM1,500, bergantung kepada rundingan serta kemampuan,"katanya.

Tag: