• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Kekal Tradisi Pelita Raya Walau Dalam PKPB

KUALA NERUS, 27 Mei - Meskipun Syawal kali ini disambut dalam suasana berbeza susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun bagi penduduk Kampung Padang Air di sini, kemeriahan Aidilfitri tetap dirasai dengan suasana tersendiri.

Mohamad Jailani Haron, 50, berkata, dia sanggup berhabis sekitar RM1,200 bagi memasang pelita dengan pelbagai bentuk di sekitar halaman rumahnya dan ia bukan hanya semata-mata untuk pertandingan.

Katanya, dia bersama keluarga terdekat mengekalkan tradisi itu yang dimulakan sejak 80-an oleh datuk dan bapanya dengan memasang kira-kira 200 pelita bulat.

“Bezanya tahun ini kami buat dengan lebih meriah bagi mengembalikan ‘mood’ raya yang sedikit suram akibat COVID-19.

“Kami turut memasang pelita di basikal dan kereta klasik serta mewujudkan taman pelita ibunda supaya orang ramai boleh merasai suasana Aidilfitri,” katanya semasa ditemui pemberita semalam.

Sementara itu, kemeriahan sama turut dirasai di sekitar Kampung Padang Hangus apabila beberapa penduduk kawasan itu bersama-sama memasang pelita raya.

Suri rumah, Zaleha Mat Min, 58, sangat bersyukur kerana kehangatan perayaan itu masih terasa walaupun tidak semeriah tahun-tahun terdahulu.

“Dalam musim PKPB dan wabak pandemik, kami tetap mengambil keputusan membuat pameran pelita bagi menceriakan kampung.

“Ini adalah tradisi yang patut dikekalkan jadi kami buat dalam bentuk olahan yang kecil jadi kami selain menyertai pertandingan pelita yang dianjurkan kerajaan negeri.

“Kami mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan semua ini,” tambahnya.