• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kekangan Kerja Antara Alasan Gagal Hadir Temu Janji Dos Penggalak

KUALA TERENGGANU, 20 Januari – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mendapati antara sebab utama kegagalan orang ramai hadir temu janji Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Penggalak (Booster) (PICK-B) adalah disebabkan kekangan kerja dan masa.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT), Dato' Dr Kasemani Embong berkata, berdasarkan respons diberi, para penerima tidak hadir bukan disebabkan penolakan untuk disuntik dos penggalak.

“Negeri ini menyaksikan kadar tidak hadir temu janji melalui aplikasi MySejahtera lebih 60 peratus, bagi warga emas dan ibu bapa memaklumkan alasan tiada kenderaan.

“Ada juga menunggu anak masing-masing untuk teman dan membawa mereka, namun disebabkan halangan kerja ia terpaksa ditangguhkan.

“Terdapat juga menyuarakan dengan sebab urusan peribadi lain yang terpaksa didahulukan serta segelintir rakyat juga memberi alasan ‘tunggu dulu’,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.

Jelas Dr Kasemani, pihaknya sentiasa mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi penerima jika ada kekangan masa dan menetapkan tarikh penerimaan 'booster' baharu.

“Di samping kemudahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu, kita juga ada senarai nama pengganti, jika ada sebahagian daripada mereka tidak boleh hadir, maka kita telefon nama lain bagi mengisi kekosongan yang ada.

Menurutnya lagi, Terengganu kini mempunyai 81 PPV dengan kadar kapasiti sehingga 13,000 suntikan dos penggalak sehari bagi memberi perlindungan optimum kepada lebih 700,000 penerima yang layak.