Kekurangan Bukan Halangan, Damia Cipta Sejarah di TTITC

HULU TERENGGANU, 23 Jun - Keterbatasan fizikal tidak menjadi penghalang buat seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU)dari Kampung Padang Setebu, Telemong untuk terus melangkah jauh dalam bidang kemahiran yang diminatinya.

Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 18, yang dilahirkan tanpa anggota tangan dan kaki yang sempurna, membuktikan bahawa semangat dan ketekunan mampu membuka peluang besar apabila berjaya melanjutkan pengajian ke Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam jurusan Pelukis Kanan Rekaan Dalaman di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), Kampung Teris.

Menurut Damia, pengiktirafan yang diterimanya ibarat satu titik tolak kepada pencapaian lebih besar dalam hidupnya.

“Saya mula mendalami bidang ini sejak Tingkatan Empat dan berjaya menyelesaikan SKM Tahap 1 dan 2 semasa di sekolah menengah.

"Impian saya memang mahu teruskan ke Tahap 3, tetapi beberapa pusat latihan sebelum ini menolak permohonan saya atas alasan kekurangan kemudahan untuk pelajar OKU seperti saya,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat tawaran rasmi kemasukan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah TTITC, Maliaman Kassim.

Namun semuanya berubah apabila TTITC membuka pintu dan memberi peluang kepada anak muda itu untuk merealisasikan cita-citanya.

“Bila dimaklumkan saya diterima, perasaan saya bercampur baur , terharu, gembira dan rasa dihargai. Saya mahu buktikan bahawa walaupun saya berbeza dari segi fizikal, saya tetap mampu menyumbang sesuatu dalam bidang ini,” ujarnya.

Sokongan padu daripada keluarga turut memainkan peranan penting dalam perjalanan Damia. Ibunya, Rosnaini Mohamad, 47, menyatakan mereka sekeluarga sentiasa berdiri teguh di belakang Damia.

“Dia tidak pernah mengeluh. Kami percaya dia mampu mengharungi tempoh setahun ini. Setiap hari, kami akan bergilir menghantarnya ke pusat latihan, yang jaraknya hampir 60 kilometer pergi balik dari rumah,” kata Rosnaini.

Sementara itu, Maliaman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri menyatakan, kemasukan Damia menjadikan beliau pelajar OKU keempat yang menuntut di TTITC.

“Tiga pelajar OKU sebelum ini terdiri daripada kategori pendengaran dan bisu. Kehadiran Damia jelas menunjukkan bahawa institusi ini mengutamakan inklusiviti dan peluang sama rata untuk semua,” katanya.


Tag: