• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Keluarga Mangsa Panahan Petir Dapat Pembelaan

Oleh : Anis Zakaria

HULU TERENGGANU, 2 Julai - Nasib sebuah keluarga di Kampung Kuala Por, Kuala Berang di sini yang trauma akibat tragedi panahan petir baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.

Dalam kejadian pada 28 Jun itu, tujuh beranak terbabit sedang berada di dalam rumah dan panahan itu menyebabkan berlaku renjatan elektrik di rumah mereka.

Lebih parah, kata Dr Mamad, tiga anak Zamil Zakaria, 42, isteri serta anak saudaranya mengalami cedera ringan dan trauma sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan susulan.

Katanya lagi, pendawaian elektrik baharu juga terpaksa dilakukan setelah ia rosak sepenuhnya akibat peristiwa itu dan ia menelan kos ratusan ringgit.

"Barangan elektrik seperti peti sejuk, kipas angin dan penapis air turut rosak.

"Saya difahamkan, isterinya, Suhasniza Sahaimi, 39, Nur Anis Nabihah Mohd Zamil, 17 , Adam Rifqi Mohd Zamil, 10, Muhammad Zafran Rayqal Mohd Zamil, 7 dan anak saudaranya, Nur Salwana Najihah Abdullah, 16, ada di dalam rumah ketika kilat berlaku.

"Empat yang bersekolah sedang tekun mengulang kaji pelajaran di meja masing-masing menggunakan beberapa telefon pintar, renjatan elektrik yang berlaku menjejaskan mereka.

“Mereka berlima dihantar ke Hospital Hulu Terengganu selepas kejadian renjatan itu, alhamdulillah kesemua mereka sudah boleh pulang ke rumah mereka dan tiada kemalangan serius dilaporkan," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri hadir ke rumah keluarga itu dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban serta membaiki kerosakan yang berlaku.

“Saya harap semoga ujian yang menimpa keluarga ini akan memberi lebih kekuatan kepada mereka dalam meneruskan kehidupan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zamil menyatakan rasa terharu apabila seorang wakil rakyat yang sibuk dengan pelbagai tugasan sudi untuk ke rumahnya untuk menghulurkan bantuan.

"Sewaktu kejadian, isteri saya sedang memasak di dapur untuk hidangan makan malam keluarga, sementara tiga anak saya dan seorang sepupu mereka sedang menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Kejadian kilat menyambar berlaku dalam sekelip mata sahaja menyebabkan isteri saya tiba-tiba jatuh terduduk dan mengalami kekejangan badan.

“Pada mulanya, saya risau anak bongsu, Muhammad Zafran Rayqal Mohd Zammil mengalami pening dan muntah-muntah akibat terkena renjatan kilat berkenaan,” tambahnya.