• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Keluarga Syukur 'Kampung Boy' Akan Dibantu - Ahmad Amzad

 

KUALA TERENGGANU, 17 September - Keluarga Muhammad Syukur Khamis,15, yang kematian 50 ekor kerbau peliharaan akan dibantu mereka mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kematian haiwan itu yang dipercayai akibat penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) adalah satu perkara yang sangat serius dan perlu diberi perhatian segera bagi membendung penularan penyakit itu ke kawasan lain.

“Kalau di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), vaksin COVID-19 di bawah pantauan kami dan begitu juga dengan wabak (hawar berdarah) ini kerana ia bwrkait dengan sains.

“Di samping berkait dengan industri penternakan, yang merupakan sesuatu yang besar impaknya kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi ke kandang kerbau milik Khamis Jusoh di Kampung Banggol Katong, Alor Limbat di sini semalam.

Menurutnya, beliau telah menghubungi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Che Abdullah Mat Nawi bagi menjelaskan tentang wabak tersebut.

“Che Lah (Abdullah) terkejut kerana sudah lama kes (hawar berdarah) ini tidak berlaku.

“Di kesempatan itu juga, saya nyatakan harapan supaya penternak ini dibantu,” jelas Timbalan Menteri MOSTI itu.

Ahmad Amzad turut mengingatkan penternak di negeri ini agar mengambil perhatian dan cakna terhadap haiwan ternakan masing-masing.

Ini kerana katanya, penyakit hawar berdarah ini sangat merbahaya kepada haiwan ternakan.

“Penyakit ini cepat merebak dan saya minta para penternak lain supaya memantau haiwan masing-masing  dengan baik. Jadi, jika perlu kuarantin dan sebagainya ikutlah arahan tersebut,” ujarnya.


Tag: