Oleh: Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
SETIU, 2 Februari – Isu keselamatan pengguna jalan raya di daerah ini bakal ditangani secara menyeluruh menerusi kelulusan empat projek pemasangan lampu jalan di beberapa lokasi kritikal Jalan Persekutuan bagi tahun pelaksanaan 2026.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir memaklumkan, inisiatif infrastruktur tersebut telah mendapat lampu hijau daripada pihak kerajaan persekutuan hasil daripada serya permohonan dan usul yang dibawa secara konsisten dalam mesyuarat pembangunan serta persidangan Dewan Rakyat.
Menurut beliau, tumpuan utama projek adalah untuk menerangi kawasan yang dikategorikan sebagai ‘laluan gelap’ dan berisiko tinggi kepada pengguna kenderaan.
"Kelulusan ini merupakan satu perkembangan positif dalam usaha kita mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di daerah Setiu. Keutamaan diberikan kepada laluan utama yang menjadi nadi perhubungan penduduk harian namun kekurangan aspek pencahayaan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Empat lokasi strategik yang dikenal pasti dalam skop projek ini melibatkan laluan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong ke Jambatan Banggol Nibong serta laluan Ladang Sri Alam ke Kampung Gong Batu.
Selain itu, pemasangan lampu turut akan dilaksanakan di kawasan hadapan Depo SATU dan laluan dari Simpang Kolam Udang Nyatuh ke Bulatan Che Selamah.
Pelaksanaan projek ini akan diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan spesifikasi teknikal dan pencahayaan mematuhi piawaian keselamatan jalan raya yang ditetapkan.
Shaharizukirnain turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKR dan agensi berkaitan atas komitmen mereka dalam meneliti keperluan mendesak ini demi keselesaan rakyat.
Pihak berautoriti turut menasihatkan pengguna jalan raya agar kekal berhati-hati ketika melalui kawasan pembinaan sebaik sahaja kerja-kerja pemasangan bermula kelak.
Projek ini dijangka bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan, malah bakal memberi impak positif kepada aktiviti sosioekonomi setempat pada waktu malam.