• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kemaman Bakal Jadi Pusat Industri Batu Kuarza di Asia Tenggara

KUALA TERENGGANU, 13 September - Kawasan Perindustrian Bandar Baharu Cheneh, Kemaman dijangka menjadi pusat kepada pengeluaran produk berasaskan industri batu kuarza di AsiaTenggara pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, jangkaan itu muncul hasil pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan Xinda Development Sdn. Bhd.

Katanya, MoU itu adalah bagi pajakan tanah untuk membangunkan zon perindustrian baharu di Kemaman dengan nilai keseluruhan pelaburan sebanyak RM2.5 bilion

"Xinda Development Sdn. Bhd akan memindahkan teknologi terkini pengeluaran batu kuarza ke Terengganu sekali gus menggalakkan lagi pengkayaan sumber mineral tersebut. 

“Projek yang akan dibangunkan di Kawasan Perindustrian Bandar Baharu Cheneh (Tambahan), Mukim Bandi, Kemaman melibatkan pajakan tanah berkeluasan 70.485 ekar adalah bagi pembangunan kilang 'finished produk factory', 'semi finished factory' dan ruang pejabat.Produk hiliran batu kuarza disasarkan untuk dieksport bagi pasaran Amerika Syarikat dan Eropah.

“Bagi pembangunan fasa pertama yang  berkeluasan 52.721 ekar adalah pembinaan kilang produk batu kuarza melibatkan pelaburan berjumlah RM600 juta, ia mampu mewujudkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan untuk termpoh lima tahun pertama dengan keutamaan peluang pekerjaan akan diberikan kepada rakyat Negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Di Kawasan Perindustrian Bandar Baharu Cheneh, Mukim Bandi, Kemaman, Terengganu Darul Iman bertempat di Dewan Besar Tingkat 3, Menara PMINT, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad negeri (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman, Naib Presiden New Zhong Yuan Group, Mr Wen Debio dan Penasihat Xinda Development Sdn Bh.

Katanya Mohd Nurkhuzaini, melalui MoU tersebut juga kerajaan negeri membenarkan pajakan tanah selama 60 tahun untuk Xinda Development membangunkan kawasan perindustrian baharu yang berasaskan produk kuarza.

Tambah beliau lagi, beberapa pelabur berpotensi di bawah subsidiari New Zhong Yuan Group juga dalam proses mengenalpasti tapak tanah industri bagi tujuan pelaburan di Terengganu dalam masa terdekat.