• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kemaman Juara Kereta Berhias Terengganu

KUALA TERENGGANU, 8 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada kenderaan berhias Daerah Kemaman yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kenderaan Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu, semalam.

Dalam majlis yang diadakan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu itu, Pejabat Daerah Kemaman membawa pulang hadiah cek cura bernilai RM20,000, piala dan sijil penyertaan.

Tempat kedua dimenangi oleh Daerah Besut dengan hadiah berupa cek cura bernilai RM15,000, piala dan sijil.

Tempat ketiga diraih Kuala Nerus (RM10,000), manakala Kuala Terengganu (RM5,000) dan Dungun (RM4,000) masing-masing di kedudukan keempat dan kelima.

Daerah Marang, Hulu Terengganu dan Setiu pula mendapat hadiah saguhati bernilai RM1,000 dan sijil.

Terdahulu, Baginda berangkat tiba diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bersama Puteri Daulath Raja pada jam 9.00 malam.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Turut sama menyambut keberangkatan tiba ialah Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan isteri serta Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri.

Pada permulaan majlis, tarian selamat datang 'Menjunjung Duli' dipersembahkan.

Sejurus kemudian, sebanyak 16 buah beca berhias bertanding mewakili sebahagian badan korporat dan agensi yang terdapat di Terengganu antaranya INSTEP, Golden Pharos dan Taman Tamadun Islam.

Ia diikuti perarakan kereta berhias yang disaksikan lebih 5,000 pengunjung yang turut hadir.

Bagi pertandiangan beca berhias, tempat pertama diraih Cas Ligas yang membawa pulang hadiah berupa cek cura RM5,000.

Manakala, tempat kedua hingga kelima dimenangi EPIC, TDM, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Ketengah.

 

 

 

 

 

 


Tag: