• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Kemaman Sahut Kempen Tanam 100 Juta Pokok

KEMAMAN, 11 Oktober - Kempen penanaman 100 juta pokok di seluruh negara mendapat respon positif daripada pelbagai pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan di daerah in.

Terbaharu, Majlis Perbandaran Kemaman pada semalam telah mengadakan program penanaman pokok bagi merealisasikan Kempen 100 juta pokok.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Air Putih), Mohd Hafiz Adam, program melibatkan komuniti setempat, pihak swasta dan agensi pendidikan itu adalah satu pendekatan terbaik.

"Saya lihat pendekatan ini amat baik dan efisien untuk memberikan pendedahan kepada segenap lapisan komuniti dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.

"Tempat kita, jadi kitalah yang wajib tunaikan amanah untuk menjaga kelestariannya. Kita adalah generasi yang akan meninggalkan persekitaran yang baik, udara yang bersih kepada anak cucu kita..Perbuatan kita pada hari ini memberi impak kepada masa depan alam sekitar,"\katanya ketika ditemui media.

Jelas beliau, dalam program tersebut sebanyak 50 batang pokok gelam telah ditanam di sepanjang kira-kira 10 meter.

Katanya, beliau turut dimaklumkan bahawa program itu adalah penanaman pokok yang kedua dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

"Kali pertama adalah penanaman pokok Ru di Pantai Teluk Mak Nik, sebanyak 300 pokok telah berjaya ditanam. Selain daripada itu, sebanyak 200 pokok lagi telah ditanam oleh Jabatan Landskap MPK di beberapa lokasi secara berjadual.

"Program tersebut juga turut melibatkan komuniti setempat dan di Bandar Baru Kijal ini adalah fasa pertama penanaman. Akan ada lagi fasa-fasa berikutnya yang akan dilaksanakan di Bandar Baru Kijal ini berdasarkan pelan yang telah dibangunkan oleh Jabatan Landskap MPK.

"Tahniah diucapkan kepada pihak MPK kerana sentiasa bersungguh-sungguh dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Kemaman. Bandar Baru Kijal telah dianugerahkan Bandar Rendah Karbon pada tahun ini.

"Saya kira ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan untuk MPK dan warga Kijal khususnya dan Negeri Terengganu amnya," katanya.


Tag: