• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kemas Berperanan Elak Insiden 1999 Berulang - Ahmad Razif


Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berperanan sebagai jentera yang akan sentiasa membantu dan memperkuatkan Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berharap supaya Kemas Negeri yang diketuai oleh Pengarahnya, Dr Faridah Mat dapat memperkukuhkan fungsinya bagi mengelak berulang tsunami politik pada 1999 (PRU10) apabila BN Terengganu tumbang berikutan ramai yang berpaling tadah dan termakan hasutan pembangkang.

“Alhamdullilah dengan kekuatan yang kita bina akhirnya BN dapat menguasai semula  pada 2004. Kita juga nampak perkara ini sudah mula menampakkan hasilnya dan perkembangan terbaharu apabila Presiden Pas Dato’Seri Abdul Hadi Awang ketika Majlis Syura Ulama Pas, baru-baru ini  membuat keputusan  supaya ikatan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR)  dengan Pas terlerai (berpecah), pada Jumaat lalu.

“Jadi ini menunjukkan bahawa Pas kini sudah sedar tentang apa sebenarnya matlamat-matlamat parti yang pernah bersekongkol dengannya sebelum ini terutamanya DAP. Majlis Syura Ulama PAS pada 11 mei lalu sebulat suara mengambil keputusan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta,” katanya ketika berucap pada program Karnival Semarak Desa Daerah Kuala Nerus di Kampung Telaga Daing, Kuala Nerus, semalam.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar berkata, langkah Pas itu seharusnya menjadi iktibar kepada bekas pemimpin UMNO yang berpaling tadah supaya meneliti semula keputusan mereka untuk  tidak sama sekali bersekongkol dengan pihak pembangkang bagi menjatuhkan BN dan UMNO.

Beliau juga memuji tindakan pemimpin Pas yang kini dilihat semakin berminat untuk menjalin kerjasama dengan UMNO terutama dalam agenda membangunkan Islam dan Melayu.

“Mana pernah kita lihat sebelum ini seorang permimpin utama, Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bersama-sama dengan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, Exco Negeri, A Latiff Awang dan Dato’Muhammad Pehemi Yusoff hadir (pada majlis) meletakkan tukun di perairan Marang, baru-baru ini.

 "Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga berulang kali mempelawa pihak yang bersama dengan Islam termasuk Pas untuk bersama-sama dengan UMNO melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin Islam di bumi Allah ini...kita nampak ia semakin membuahkan hasil," katanya.

Tag: