• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kembara Prihatin Negara Sasar Santuni Sejuta Individu

MARANG, 29 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan sejuta individu mendapat manfaat daripada Program Kembara Prihatin Negara dalam usaha menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19. 

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, bagi mencapai hasrat itu pihaknya akan menjelajah ke 108 daerah di seluruh negara dan mengharapkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada aktiviti dijalankan sepanjang satu tahun pelaksanaan.

“Terengganu adalah negeri yang ke-11 kita laksanakan program ini di mana program kembara bertumpu di kawasan-kawasan tumpuan awam seperti pasar tani, pasar pagi, kompleks niaga, pusat komuniti setempat dan lain-lain.

“Kita turut menyantuni kumpulan sasar yang berada di kawasan pedalaman menerusi kereta dan van bergerak dengan membuka kaunter untuk memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan yang berada di bawah kementerian,” ujarnya.

Siti Zailah menyantuni warga emas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Mula Kerja (Kick Off) Kembara Prihatin Negara Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Setempat (OKU) Sungai Kerak, di sini hari ini.

Siti Zailah turut menyeru NGO dan syarikat korporat untuk bersama dengan pihaknya bagi bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.

“Selain daripada program yang sedia ada, program Kembara Prihatin ini memudahkan lagi untuk kita beri perkhidmatan kepada rakyat dan kita mengharapkan masyarakat di luar sana ambil peluang ini.

“Apabila kita turun ke daerah-daerah bagi mereka yang berada jauh di pedalaman, inilah ruang untuk mereka bertanya, ambil borang bantuan dan sebagainya kerana semua disediakan malah pegawai kita sentiasa bersedia untuk membantu,” ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, KPWKM turut mengadakan Ziarah Prihatin terhadap klien-klien yang berada dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendekati dan melihat sendiri keadaan masyarakat.


Tag: